Isnin, 23 Januari 2012

BUKAN LABUHAN HATIMU…

BUKAN LABUHAN HATIMU… Aku membelek-belek majalah solusi yang baru dibeliku sebentar tadi. Sangat menarik isu-isu yang disiarkan membuatkan aku tidak sangsi untuk membelinya. Tambahan pula aku memang suka membaca buku-buku bebentuk kerohanian seperti itu. Tanpa hobi ini, apalah yang hendak aku lakukan untuk mengisi kekosongan hidup ini? Hidup yang sunyi. Walau segembira mana pun aku, akhirnya aku kembali sunyi juga. Melihat insan di sekililingku bagaikan tidak pernah lekang dengan kekasih masing-masing. Kadang-kadang aku amat terasa bila melihat gelagat mereka. 24 jam hanya bergayut di telefon. Setiap kesempatan digunakan untuk ber’sms’ dengan kekasih hati. Hakikatnya, aku sangat rimas berada di samping insan-insan seperti ini. Kerana aku kini seorang yang ‘anti-couple sebelum kahwin’…     

             Namun, setelah beberapa tahun meninggalkan zina hati ini, aku tidak pernah berhenti diuji dengan dugaan untuk ‘couple’ sebelum kahwin. Dikelilingi oleh insan-insan yang majoritinya berpasangan sebelum berkahwin membuatkan aku turut diuji. Timbul rasa sunyi yang teramat di hati ini. Kesunyian yang amat menyeksakan aku. Apatah lagi, aku selalu ditanya soalan yang sama. “ Kau tak couple ke? Takkan lawa-lawa macam ni tak da boyfriend kot? Ke kau jual mahal?” .Soalan inilah yang selalu aku dengar dari insan-insan yang terkejut aku tidak mempunyai teman lelaki. Pada mulanya, aku memang tidak kisah langsung dengan soalan-soalan seperti ini, namun segalanya telah mengoyahkan hati ini. Hati ini mulai sensitif dengan soalan seperti itu. Apa tidaknya? Aku merasakan akulah manusia yang sangat pelik kerana tidak berpasangan. Aku dilihat bagai orang yang benar-benar ketinggalan zaman. Bagai orang yang datang dari planet lain yang datang menumpang hidup di bumi.          

             Pernah suatu ketika, aku merasa gagal untuk mempertahankan prinsip hidup aku yang baru itu. “Tidak mahu couple sebelum akad” … Aku menangis sepuas-puasnya kerana aku melakukan semua ini kerana Allah. Aku meninggalkan dosa besar ini kerana Allah, bukan atas paksaan sesiapa pun… Selain dari tidak berpasangan sebelum kahwin, aku juga berpegang pada prinsip ‘anti ber’sms’ dengan lelaki yang tidak mempunyai apa-apa ikatan yang sah denganku. Alhamdulillah, aku berjaya juga akhirnya. Boleh dikatakan, dalam sebulan hanya sekali aku ber’sms’ dengan lelaki. Walaupun hanya sebulan tidak ber’sms’ dengan mereka yang tidak sepatutnya, namun bagi aku ,itu adalah pencapaian yang amat bermakna buat insan yang 24 jam ber’sms’ dengan lelaki seperti aku ini. Itu pun atas hal yang tidak dapat aku elakkan. Itu pun, hanya satu ‘sms’ sahaja. Tiada lagi ucapan manja dalam ‘sms’ ku. Tiada lagi ‘smily face’ yang aku selitkan pada ‘sms’ aku itu. Walaupun nampak kejam pada pandangan orang lain, namun aku yakin pada pandangan Allah ianya nampak baik. Kerana bukankah aku telah mencuba mengelak dari berlakunya maksiat dan zina hati terutamanya? 
                                                                                                                                  Setiap lelaki yang ber’sms’ dengan aku juga akan aku katakan aku tidak mahu dan tidak suka ber’sms’ dengan mereka kerana aku mahu menjaga batas. Tidak ketinggalan juga yang mengajakku ber’couple’. Amat berat bagiku memberikan jawapan, apatah lagi itu adalah lamaran dari insan yang ku anggap hanya sebagai kawan biasa. Namun, aku abaikan mereka. Biarlah aku dikatakan sombong. Aku juga tidak mahu menambah dosa mereka. Pada mulanya, aku dikatakan seorang yang sangat taksub terhadap prinsip hidup. Aku dikatakan tidak normal. Mana tidaknya, aku dahulu seorang yang boleh dikatakan sangat bersosial. Aku juga ‘couple’ dan hampir setiap waktu yang terluang digunakan untuk ber’sms’ dengan si dia. Bagaikan tiada perkara lagi yang hendak dibualkan kerana segalanya telah dibualkan. Namun, saat itu aku tetap menjaga batas pergaulan. Tidak pernah berdua-duaan. Tidak pernah berpegang tangan dan seumpamanya. Alhamdulillah, waktu itu Allah bekalkan sedikit keimanan dalam hatiku. 

Bekas teman lelakiku juga sukar menerima keputusanku untuk tidak mahu ber’sms’ dengannya lagi. Namun, dia mula menyedari hakikatnya dia juga harus menerima keputusan itu kerana dia tidak ada hak untuk menentangku. Lagipun dia tahu, aku melakukan hal ini kerana Allah. Alhamdulillah, kini ‘sms’ kami hanyalah pada hal yang benar-benar dirasakan penting. Kadang-kadang, ‘sms’ nya tidak aku balas langsung. . Saat itu, aku benar-benar bersyukur kerana dia memahami aku. Aku mahu menjaga batas. 

Segalanya bertahan sejak aku menamatkan persekolahanku beberapa tahun yang lalu. Batas amat terjaga. Namun, apabila aku meneruskan pengajianku di kampus ini, aku diuji lagi. Malah, ujiannya makin besar aku rasakan. Kini, Allah benar-benar mahu menguji setakat mana prinsip itu aku pegang. Aku lemah. Aku makin lemah untuk mempertahankan prinsip itu. 

Pernah juga aku terfikir untuk membuang saja prinsip hidupku itu dan meneruskan prinsip hidupku yang lama. Namun, beristighfar. Bukankah memilih jalan yang Dia murkai itu memang sudah terang-terangan salah? Kerana aku benar-benar kesunyian. Walau sesibuk mana pun aku, kesunyian itu datang juga tanpa diundang. Aku tahu, itu memang fitrah setiap manusia untuk mencintai dan mahu dicintai. Siapa aku untuk lari dari fitrah yang sudah sedia ada Allah ciptakan ini? Namun, itu bukan alasan untuk aku menyalahkan fitrah itu. Bukankah kita dapat menjaga fitrah itu agar tetap dalam redaNya? Bukankah kita mampu menjaga hati ini? Bukankah kekuatan itu sudah Allah beri untuk kita melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan? 

Aku sudah jemu membiarkan hati ini menjadi labuhan hati lelaki. Sedangkan belum tentu lagi dia adalah suamiku. Andai dia juga adalah suamiku, bukankah aku hanya membuang masa sahaja?. Bukankah lebih baik jika sudah berkahwin barulah aku membiarkan dia berlabuh di hati ini. Lebih baik sebelum berkahwin dengannya aku mempersiapkan diri untuk menjadi isteri yang solehah. Barulah aku layak membiarkan diri ini disayangi dengan sepenuh hati oleh seorang insan bernama ‘lelaki’... 

Mana harga diriku sebagai seorang wanita dengan membiarkan lelaki sewenang-wenangnya meluahkan segala-galanya di hati ini? Tidak. Aku tidak mahu hati yang sudah menjadi labuhan hati lelaki ini dihadiahkan dan dipersembahkan pada suamiku kelak. Ya Allah, hinanya aku jika menyerahkan hati yang kotor ini pada lelaki bergelar suami. Bagaimana hendak aku bina istana yang Engkau redai andai pembinanya mempunyai hati yang sudah kotor dengan maksiat dan dosa yang tidak pernah aku cuba untuk bertaubat padaMu serta konsisten terhadap taubat ini? Bukankah istana yang aku bina nanti juga akan ternoda keindahannya? Aku menangis. Menangis sepuas-puasnya. Aku lupakan egoku selama ini. Yang aku mahu hanyalah menangisi segala dosaku selama ini… Mengapa Ya Allah? Mengapa aku harus lupakan prisip hidup aku yang Kau redai selama ini? Mengapa harus aku goyah hanya kerana kata-kata manusia yang tidak memperdulikan dosa dan pahala? Mengapa hanya kerana untuk baik pada pandangan manusia membuatkan aku melupakan apa yang baik pada pandangan Mu? 

Ya Allah, tetapkanlah imanku. Biarlah aku diejek dan dipandang hina oleh makhluk ciptaanMu, asalkan ianya adalah sesuatu yang Kau redai. Biarlah aku kesunyian di dunia ini. Lebih baik aku menikmati kesunyian ini daripada di akhirat nanti aku sibuk dengan azabMu kerana melakukan maksiat dan zina hati terutamanya. Ya Allah, aku tidak mahu berpaling dari jalan ini lagi. Kerana aku yakin, inilah jalan yang terbaik untukku kerana aku yakin Kau mahu menghadiahkan aku sesuatu yang lebih baik. Bimbang juga andai Kau menarik semula hidayah ini. Jadilah aku orang yang benar-benar rugi andai itu berlaku. Ku berdoa agar aku dianugerahkan lelaki yang tidak pernah menjadi labuhan hati wanita lain. Apatah lagi menjadikan wanita lain sebagai labuhan hatinya kecuali aku yang sah bergelar isterinya sahaja. Namun, aku hanya insan biasa. Bukankah tidak adil aku mendapat suami yang tidak pernah melabuhkan hatinya pada wanita lain sedangkan, aku pernah sahaja melabuhkan hati ini pada lelaki lain? Ya Allah, aku bertaubat padaMu. 

“Ya Allah, kurniakanlah aku seorang lelaki yang telah bertaubat dari melabuhkan hatinya pada wanita lain yang tidak sah baginya sebagai suamiku” Aku rasa, itulah doa yang patut aku doakan. Aku malu untuk meminta yang jauh lebih baik dari aku, sedang aku hanya insan yang tak tahu menjaga hati.. Bukan aku berputus asa. Tidak sama sekali. Namun, aku sedar siapa diri ini. Aku bertaubat pada Mu seikhlas-ikhlas hatiku. Aku tidak mahu kembali pada dosa itu lagi. Cukuplah selama ini aku hanya merelakan hati ini menjadi labuhan lelaki. Cukuplah! Aku mahu bertaubat Ya Allah. 

Kini, aku hanya meneruskan hidupku tanpa pernah aku biarkan hati ini menjadi labuhan mana-mana lelaki pun. Kesunyian ini ku isi dengan pergi menuntut ilmu, pergi usrah dan segala yang bermanfaat. Biar hati ini terisi dengan perkara yang baik-baik sahaja. Aku yakin, suatu hari nanti seorang putera yang soleh akan datang melamarku menjadi puterinya. Puteri yang solehah yang akan menemani perjuangannya. Yang akan sentiasa setia di sisinya saat susah dan senang. Puteri yang dihatinya tiada lain, hanyalah cinta yang mendalam pada penciptanya. Allah yang Maha Esa…