Pagi itu Mia bangun dengan dikejutkan oleh indahnya alunan azan yang bergema di seluruh alam ciptaan Allah. Mia segera pergi ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Kemudian, dia terus menghamparkan sejadah untuk mula solat tanpa menyedari akan hadirnya ibu yang dari tadi menunggunya di kerusi yang ada di sudut bilik. “ Jom solat sama-sama.” kata ibu kepadanya, membuatkan dia sedikit terkejut dengan kehadiran ibu. “ Eh, bila pulak ibu masuk bilik Mia? Ibu ni, buat orang terkejut je.” katanya kepada ibu yang hanya tersenyum riang melihat gelagat Mia yang terkejut dengan kehadirannya tadi. Mereka pun segera mendirikan solat berjemaah bersama-sama.
Selesai saja mendirikan solat, Mia terus memeluk erat ibunya. “Maafkan segala dosa Mia bu. Mia dah banyak melakukan kesilapan pada ibu.” Tanpa disedari air mata Mia mengalir deras tanpa dapat dia sekat lagi. “Biarlah air mata ini mengalir deras. Moga air mata ini dapat membasuh hatiku yang kotor ini” bisik Mia di dalam hatinya. Entah mengapa peristiwa 3 tahun yang lalu membuatnya sangat hiba, walaupun telah lama berlalu.
……………
3 TAHUN YANG LALU
“ Ibu, Mia pergi rumah Zahirah dulu. Malam nanti Mia balik. Mia balik lewat sikit.” Mia menghantar SMS kepada ibunya sebelum meninggalkan rumah. Ibunya sedang menunaikan solat Isyak di biliknya. Dia sengaja mengambil kesempatan itu untuk keluar berjumpa insan yang paling istimewa dalam hidupnya, Syafiq. Ibu pasti tidak mahu menyuruhnya keluar rumah andai dia mengatakan dia mahu berjumpa dengan teman lelakinya itu. Terpaksalah dia berbohong dengan mengatakan dia mahu berjumpa Zahirah.
Sudah lama Mia tidak berjumpa dengan buah hatinya itu. Rindu hatinya mula terubat dengan pertemuan yang memang lama dia nanti-nantikan itu. Syafiq merupakan teman sekuliahnya di kampus. Kacak orangnya. Dia pandai mengambil hati Mia dengan kata-kata cinta yang membuatkan setiap wanita yang mendengar pasti akan dibuai mimpi olehnya. Mia amat bersyukur kerana dia dianugerahkan teman lelaki seperti Syafiq. Dia mengakui bahawa dia sering berasa cemburu setiap kali dia melihat Syafiq berjalan seiring dengan perempuan lain semasa di kampusnya. Walaupun semua orang mengetahui bahawa Syafiq adalah teman lelakinya, namun Syafiq sering menjadi buruan gadis-gadis yang ada di kampus itu. Pernah juga dia merungut akan hal ini kepada Syafiq ketika sedang berbual di telefon. Namun, Syafiq sering mengatakan bahawa Mia harus faham bahawa dia terpaksa berhubungan dengan gadis-gadis tersebut untuk tujuan tugasan. Semenjak itu, Mia tidak mampu untuk merungut lagi. Baginya, memiliki lelaki sekacak Syafiq sudah memadai walaupun dia kadang-kadang meragui kesetiaan Syafiq padanya.
Pernah suatu ketika, dia melihat sendiri Syafiq berpimpin tangan dengan seorang adik ‘junior’ yang terkenal dengan kecantikan wajahnya itu. Namun, setelah dipujuk rayu oleh Syafiq untuk memaafkannya, Mia terus melupakan hal itu. Dia mahu memberi peluang kepada Syafiq untuk berubah.
Suatu pagi yang tenang. Mia melangkah perlahan menuju ke perpustakaan . Dia mahu mencari bahan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah padanya. Sedang dia melangkah menuju ke pintu masuk perpustakaan, bahunya dilanggar oleh seorang gadis bertudung labuh yang kelihatannya tidak sengaja melanggarnya. Segala buku yang berada di tangan mereka jatuh bertaburan di atas lantai. Gadis itu dengan rasa bersalahnya meminta maaf kepada Mia. Mia hanya tersenyum. “ Akak minta maaf dik, akak tergesa-gesa sangat tadi. Maafkan akak ya ?” kata gadis itu dengan wajah bersalah. “Tak apa kak. Akak tak sengaja kan?. Ni buku-buku akak.” Mia menghulurkan tiga buah buku milik kakak itu yang baru dipungutnya di atas lantai sebentar tadi. Kakak bertudung labuh itu terus mengucapkan terima kasih dan pertemuan mereka berakhir di situ.
…..
“Mia, kau dah pinjam ke buku psikologi kanak-kanak yang pensyarah nak tu?” tanya Ani kepada Mia. Ani adalah teman sebiliknya. Mereka mengambil jurusan yang sama. “Ya, aku dah pinjam. Kejap ya.” jawab Mia sambil bergegas mencari buku yang dipinjamnya di perpustakaan beberapa hari yang lalu. Semasa mencari buku itu, Mia terkejut apabila melihat buku berwarna biru yang ada bersama buku yang dipinjamnya. “Buku siapakah ini ?” monolognya sendiri di dalam hati. ‘ Ya Allah, pilihlah aku’. Tajuk buku itu diamatinya lama sambil memikirkan pemilik buku itu. Sejujurnya dia tidak meminati buku-buku berunsur keagamaan. Dia mengambil keputusan untuk menyimpan sahaja buku itu.
Pagi itu, Mia bersiap awal untuk pergi ke kuliah pagi. Setelah siap bersolek dan menyikat rambutnya yang menawan itu, dia terus menuju ke almari bukunya untuk mengambil buku yang dia perlukan untuk hadir ke kuliah. Sedang mencari buku tersebut, matanya terpandang sebuah buku biru yang dilihatnya malam tadi. Dia mengeluh panjang. Dia bertekad untuk memulangkan semula buku tersebut kepada pemiliknya.
Dia memberanikan diri untuk menyelak buku itu dengan harapan dia menjumpai maklumat tentang pemilik buku tersebut. Helaian pertama buku itu telah tertera nama ‘Ainul Mardhiah Binti Mohamad Halmi’. Indah nama wanita ini. “Bisiknya”. Mia mula ingat bahawa buku itu adalah milik gadis yang bertudung labuh yang terlanggar bahunya di perpustakaan beberapa hari yang lalu. Dia bertekad untuk mencari gadis itu dan menghantar buku tersebut kepadanya.
Semasa balik dari kuliah, Mia duduk menunggu Syafiq di kafeteria. Sambil itu dia membelek-belek buku milik gadis itu dengan perlahan-lahan. Akhirnya matanya tertarik dengan tajuk kecil dalam buku itu; ‘Sedarlah wanita, azab Allah itu amat pedih’. Tanpa berfikir panjang, buku itu dibacanya dari helaian pertama hinggalah ke helaian terakhir. Di helaian terakhir, matanya telah menangis sepuas-puasnya. Syafiq yang baru sahaja duduk di hadapannya tidak dihiraukannya. “Kenapa Mia menangis?”tanya Syafiq yang kehairanan dengan tingkah laku Mia. Lantas Mia berlari-lari anak menuju ke kolej kediamannya tanpa menghiraukan Syafiq yang dari tadi merenungnya.
Pagi itu, Mia bersiap untuk ke kuliah. Dia memakai baju kurung berwarna biru miliknya. Dan, sehelai tudung labuh berwarna biru. Dengan langkah yang penuh yakin, dia menuju ke kelasnya.
Dalam perjalanan ke kelasnya, dia terserempak dengan lelaki yang amat dikenalinya, Syafiq. Syafiq yang memakai baju melayu dan bersongkok hitam itu hanya diperhatikannya dari jauh. Ada kitab ‘Al-Quran’ di sisi lelaki itu. “Alhamdulillah, dia sudah berubah Ya Allah” bisik Mia di dalam hatinya.
Semenjak akhir-akhir ini, Syafiq telah banyak berubah. Dia yang dulunya terkenal dengan pergaulan bebasnya, kini sudah mula menjaga batasnya. Malah, dia sentiasa menundukkan pandangan setiap kali bertembung dengan wanita yang dijumpainya. “Hidayah-Mu memang cukup indah Ya Allah. Benar, hidayah itu hanya milik-Mu. Hanya Engkau sahaja yang mampu memberi hidayah itu kepada sesiapa sahaja yang Engkau kehendaki. Sangat beruntung orang yang mendapatnya” .Tanpa disedari, setitis mutiara putih mengalir di pipinya.
Selesai sahaja kuliah pagi itu, Mia terus melangkah menuju ke kafeteria. “Mia?” Entah mengapa Mia merasakan namanya disebut oleh seorang wanita. Sepertinya dia kenal suara itu. Namun,dia tidak pasti suara siapakah itu. Dia terus menoleh ke belakang. Alangah terkejutnya apabila dia melihat wajah ayu seorang gadis bertudung labuh berada betul-betul di hadapannya. Dia masih ingat wajah itu.
“Maafkan saya! Akak ni akak Ainul kan? Yang terlanggar saya hari tu?”tanya Mia kepada Kak Ainul.
“Ya saya. Ini Mia Humaira kan ?”tanya kakak itu dengan penuh sopan.
“ Ya saya. Bagaimana kakak tahu nama saya? Seingat saya,hari tu kita tidak sempat bertanyakan nama masing-masing.”balas Mia lembut.
“ Hari tu kita tertukar buku kan? Maafkan akak, akak tidak sedar itu buku Mia. Akak nak pulangkan hari tu. Oh ya, akak tahu nama Mia pun sebab nama Mia tertulis di helaian pertama buku ‘Prinsip Perakaunan’ kan?”kata Kak Ainul.
“Oh ya kak. Buku akak pun ada pada saya. Akak, maafkan saya kerana saya telah membaca buku akak tanpa kebenaran. Akak, buku itu sangat bermakna buat saya. Telah banyak perkara yang saya pelajari dari buku itu. Akak, hidayah Allah itu memang indah.”
“Tak apa Mia. Akak hadiahkan buku itu pada Mia. Buat tatapan rohani. Akak sangat bersyukur atas perubahan Mia sekarang. Mia telah berjaya mengubah cara hidup Mia. Walaupun akak tidak mengenali Mia secara lebih mendalam, tapi akak boleh melihatnya dari sinar ketenangan pada wajah Mia.”balas Kak Ainul dengan senyuman manis pada wajahnya.
……………
Mia duduk tenang mentelaah buku-buku motivasi yang baru dibelinya di kedai buku tadi. Matanya tiba-tiba terpandang sebuah buku berwarna biru bertajuk ‘Ya Allah, pilihlah aku!’. Dia terus menyelak helaian demi helaian dan berhenti pada helaian yang bertajuk ‘Sedarlah wanita, azab Allah itu amat pedih’. Dia terus membacanya, sambil menitiskan air mata kekesalan atas dosa-dosanya yang lalu.
Wahai wanita! Sedarlah bahawa dirimu itu amat berharga. Pada mata lelaki kau umpama mutiara yang bersinar indah yang menyinari kegelapan hidup mereka. Kau juga umpama ‘mawar berduri’. Sangat indah di pandangan mata, namun tidak bisa disentuh sesuka hati. Jika disentuh jua, kau akan terluka pedih. Keharumanmu akan pudar dimamah tangan-tangan yang penuh nafsu membuak. Usah biarkan dirimu menjadi bahan permainan lelaki yang tidak terjaga imannya. Serahkan cintamu hanya pada insan yang layak mendapatkannya.
Wahai insan bergelar wanita, iangatlah bahawa azab Allah itu amatlah pedih. Takkan mampu untuk kau membayanginya, kerana ianya amat dahsyat. Lantas itu, segeralah kau tutup auratmu. Bukan hanya menutup aurat. Namun, tutuplah auratmu dengan ‘sempurna’. Agar kau hidup dalam redha Ilahi.
Cuba kau tatapi segala yang ada di sisimu. Semua ciptaan Allah itu tunduk padaNya. Matahari yang tidak pernah ingkar untuk mengeluarkan cahayanya. Tumbuh-tumbuhan yang tumbuh sempurna mengikut perintah Allah. Pernahkah ciptaan Allah ini ingkar pada perintah Allah ? Tidak pernah kan? .Ia tidak punya akal. Ia tidak punya perasaan. Namun, ia sentiasa mengikut perintah Tuhannya. Tetapi, kita pula bagaimana? Kita sebagai sebaik-baik ciptaan ini pun tidak pernah sujud pada Allah. Kita ego. Kita alpa pada diri. Kita sombong pada nikmat yang kita pinjam dari Allah.
Kita dikurniakan akal untuk berfikir. Malahan perasaan untuk kita menghayati indahnya ciptaan Ilahi. Namun, mengapa masih malas menyembahNya? Mengapa masih bergelumang dengan dosa yang sentiasa menghitamkan hatimu? Bagaimana agaknya andai matahari enggan muncul lagi mengeluarkan sinar cahayanya? Bagaiman andainya tumbuh-tumbuhan pun malas untuk bercambah. Malas mengikut perintah Allah?
Malulah kita pada ciptaan yang tidak dikurniakan akal ini. Seolah-olah mereka yang berakal dan mempunyai perasaan. Sedang kita? Umpama ciptaan yang hanya diciptakan untuk ingkar padaNya.
Subhanallah! Sungguh indah ciptaan Ilahi. Tak mampu untuk kita katakan. Beristighfarlah ! Pulanglah pada fitrah kita. Fitrah sebagai hamba Allah yang bertakwa.
Buku biru itu Mia tutup perlahan-lahan. Dan dia segera menitiskan air mata keinsafan. “Allah telah memilih aku untuk meneruskan perjuangan Islam. Allah telah memilih aku untuk mendapat hidayah dariNya.” Bisik hati kecilnya. Mia kini sudah pulang pada tempatnya yang sebenar. Pulang ke jalan Allah untuk berjihad demi Islam…