Isnin, 23 Januari 2012

BUKAN LABUHAN HATIMU…

BUKAN LABUHAN HATIMU… Aku membelek-belek majalah solusi yang baru dibeliku sebentar tadi. Sangat menarik isu-isu yang disiarkan membuatkan aku tidak sangsi untuk membelinya. Tambahan pula aku memang suka membaca buku-buku bebentuk kerohanian seperti itu. Tanpa hobi ini, apalah yang hendak aku lakukan untuk mengisi kekosongan hidup ini? Hidup yang sunyi. Walau segembira mana pun aku, akhirnya aku kembali sunyi juga. Melihat insan di sekililingku bagaikan tidak pernah lekang dengan kekasih masing-masing. Kadang-kadang aku amat terasa bila melihat gelagat mereka. 24 jam hanya bergayut di telefon. Setiap kesempatan digunakan untuk ber’sms’ dengan kekasih hati. Hakikatnya, aku sangat rimas berada di samping insan-insan seperti ini. Kerana aku kini seorang yang ‘anti-couple sebelum kahwin’…     

             Namun, setelah beberapa tahun meninggalkan zina hati ini, aku tidak pernah berhenti diuji dengan dugaan untuk ‘couple’ sebelum kahwin. Dikelilingi oleh insan-insan yang majoritinya berpasangan sebelum berkahwin membuatkan aku turut diuji. Timbul rasa sunyi yang teramat di hati ini. Kesunyian yang amat menyeksakan aku. Apatah lagi, aku selalu ditanya soalan yang sama. “ Kau tak couple ke? Takkan lawa-lawa macam ni tak da boyfriend kot? Ke kau jual mahal?” .Soalan inilah yang selalu aku dengar dari insan-insan yang terkejut aku tidak mempunyai teman lelaki. Pada mulanya, aku memang tidak kisah langsung dengan soalan-soalan seperti ini, namun segalanya telah mengoyahkan hati ini. Hati ini mulai sensitif dengan soalan seperti itu. Apa tidaknya? Aku merasakan akulah manusia yang sangat pelik kerana tidak berpasangan. Aku dilihat bagai orang yang benar-benar ketinggalan zaman. Bagai orang yang datang dari planet lain yang datang menumpang hidup di bumi.          

             Pernah suatu ketika, aku merasa gagal untuk mempertahankan prinsip hidup aku yang baru itu. “Tidak mahu couple sebelum akad” … Aku menangis sepuas-puasnya kerana aku melakukan semua ini kerana Allah. Aku meninggalkan dosa besar ini kerana Allah, bukan atas paksaan sesiapa pun… Selain dari tidak berpasangan sebelum kahwin, aku juga berpegang pada prinsip ‘anti ber’sms’ dengan lelaki yang tidak mempunyai apa-apa ikatan yang sah denganku. Alhamdulillah, aku berjaya juga akhirnya. Boleh dikatakan, dalam sebulan hanya sekali aku ber’sms’ dengan lelaki. Walaupun hanya sebulan tidak ber’sms’ dengan mereka yang tidak sepatutnya, namun bagi aku ,itu adalah pencapaian yang amat bermakna buat insan yang 24 jam ber’sms’ dengan lelaki seperti aku ini. Itu pun atas hal yang tidak dapat aku elakkan. Itu pun, hanya satu ‘sms’ sahaja. Tiada lagi ucapan manja dalam ‘sms’ ku. Tiada lagi ‘smily face’ yang aku selitkan pada ‘sms’ aku itu. Walaupun nampak kejam pada pandangan orang lain, namun aku yakin pada pandangan Allah ianya nampak baik. Kerana bukankah aku telah mencuba mengelak dari berlakunya maksiat dan zina hati terutamanya? 
                                                                                                                                  Setiap lelaki yang ber’sms’ dengan aku juga akan aku katakan aku tidak mahu dan tidak suka ber’sms’ dengan mereka kerana aku mahu menjaga batas. Tidak ketinggalan juga yang mengajakku ber’couple’. Amat berat bagiku memberikan jawapan, apatah lagi itu adalah lamaran dari insan yang ku anggap hanya sebagai kawan biasa. Namun, aku abaikan mereka. Biarlah aku dikatakan sombong. Aku juga tidak mahu menambah dosa mereka. Pada mulanya, aku dikatakan seorang yang sangat taksub terhadap prinsip hidup. Aku dikatakan tidak normal. Mana tidaknya, aku dahulu seorang yang boleh dikatakan sangat bersosial. Aku juga ‘couple’ dan hampir setiap waktu yang terluang digunakan untuk ber’sms’ dengan si dia. Bagaikan tiada perkara lagi yang hendak dibualkan kerana segalanya telah dibualkan. Namun, saat itu aku tetap menjaga batas pergaulan. Tidak pernah berdua-duaan. Tidak pernah berpegang tangan dan seumpamanya. Alhamdulillah, waktu itu Allah bekalkan sedikit keimanan dalam hatiku. 

Bekas teman lelakiku juga sukar menerima keputusanku untuk tidak mahu ber’sms’ dengannya lagi. Namun, dia mula menyedari hakikatnya dia juga harus menerima keputusan itu kerana dia tidak ada hak untuk menentangku. Lagipun dia tahu, aku melakukan hal ini kerana Allah. Alhamdulillah, kini ‘sms’ kami hanyalah pada hal yang benar-benar dirasakan penting. Kadang-kadang, ‘sms’ nya tidak aku balas langsung. . Saat itu, aku benar-benar bersyukur kerana dia memahami aku. Aku mahu menjaga batas. 

Segalanya bertahan sejak aku menamatkan persekolahanku beberapa tahun yang lalu. Batas amat terjaga. Namun, apabila aku meneruskan pengajianku di kampus ini, aku diuji lagi. Malah, ujiannya makin besar aku rasakan. Kini, Allah benar-benar mahu menguji setakat mana prinsip itu aku pegang. Aku lemah. Aku makin lemah untuk mempertahankan prinsip itu. 

Pernah juga aku terfikir untuk membuang saja prinsip hidupku itu dan meneruskan prinsip hidupku yang lama. Namun, beristighfar. Bukankah memilih jalan yang Dia murkai itu memang sudah terang-terangan salah? Kerana aku benar-benar kesunyian. Walau sesibuk mana pun aku, kesunyian itu datang juga tanpa diundang. Aku tahu, itu memang fitrah setiap manusia untuk mencintai dan mahu dicintai. Siapa aku untuk lari dari fitrah yang sudah sedia ada Allah ciptakan ini? Namun, itu bukan alasan untuk aku menyalahkan fitrah itu. Bukankah kita dapat menjaga fitrah itu agar tetap dalam redaNya? Bukankah kita mampu menjaga hati ini? Bukankah kekuatan itu sudah Allah beri untuk kita melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan? 

Aku sudah jemu membiarkan hati ini menjadi labuhan hati lelaki. Sedangkan belum tentu lagi dia adalah suamiku. Andai dia juga adalah suamiku, bukankah aku hanya membuang masa sahaja?. Bukankah lebih baik jika sudah berkahwin barulah aku membiarkan dia berlabuh di hati ini. Lebih baik sebelum berkahwin dengannya aku mempersiapkan diri untuk menjadi isteri yang solehah. Barulah aku layak membiarkan diri ini disayangi dengan sepenuh hati oleh seorang insan bernama ‘lelaki’... 

Mana harga diriku sebagai seorang wanita dengan membiarkan lelaki sewenang-wenangnya meluahkan segala-galanya di hati ini? Tidak. Aku tidak mahu hati yang sudah menjadi labuhan hati lelaki ini dihadiahkan dan dipersembahkan pada suamiku kelak. Ya Allah, hinanya aku jika menyerahkan hati yang kotor ini pada lelaki bergelar suami. Bagaimana hendak aku bina istana yang Engkau redai andai pembinanya mempunyai hati yang sudah kotor dengan maksiat dan dosa yang tidak pernah aku cuba untuk bertaubat padaMu serta konsisten terhadap taubat ini? Bukankah istana yang aku bina nanti juga akan ternoda keindahannya? Aku menangis. Menangis sepuas-puasnya. Aku lupakan egoku selama ini. Yang aku mahu hanyalah menangisi segala dosaku selama ini… Mengapa Ya Allah? Mengapa aku harus lupakan prisip hidup aku yang Kau redai selama ini? Mengapa harus aku goyah hanya kerana kata-kata manusia yang tidak memperdulikan dosa dan pahala? Mengapa hanya kerana untuk baik pada pandangan manusia membuatkan aku melupakan apa yang baik pada pandangan Mu? 

Ya Allah, tetapkanlah imanku. Biarlah aku diejek dan dipandang hina oleh makhluk ciptaanMu, asalkan ianya adalah sesuatu yang Kau redai. Biarlah aku kesunyian di dunia ini. Lebih baik aku menikmati kesunyian ini daripada di akhirat nanti aku sibuk dengan azabMu kerana melakukan maksiat dan zina hati terutamanya. Ya Allah, aku tidak mahu berpaling dari jalan ini lagi. Kerana aku yakin, inilah jalan yang terbaik untukku kerana aku yakin Kau mahu menghadiahkan aku sesuatu yang lebih baik. Bimbang juga andai Kau menarik semula hidayah ini. Jadilah aku orang yang benar-benar rugi andai itu berlaku. Ku berdoa agar aku dianugerahkan lelaki yang tidak pernah menjadi labuhan hati wanita lain. Apatah lagi menjadikan wanita lain sebagai labuhan hatinya kecuali aku yang sah bergelar isterinya sahaja. Namun, aku hanya insan biasa. Bukankah tidak adil aku mendapat suami yang tidak pernah melabuhkan hatinya pada wanita lain sedangkan, aku pernah sahaja melabuhkan hati ini pada lelaki lain? Ya Allah, aku bertaubat padaMu. 

“Ya Allah, kurniakanlah aku seorang lelaki yang telah bertaubat dari melabuhkan hatinya pada wanita lain yang tidak sah baginya sebagai suamiku” Aku rasa, itulah doa yang patut aku doakan. Aku malu untuk meminta yang jauh lebih baik dari aku, sedang aku hanya insan yang tak tahu menjaga hati.. Bukan aku berputus asa. Tidak sama sekali. Namun, aku sedar siapa diri ini. Aku bertaubat pada Mu seikhlas-ikhlas hatiku. Aku tidak mahu kembali pada dosa itu lagi. Cukuplah selama ini aku hanya merelakan hati ini menjadi labuhan lelaki. Cukuplah! Aku mahu bertaubat Ya Allah. 

Kini, aku hanya meneruskan hidupku tanpa pernah aku biarkan hati ini menjadi labuhan mana-mana lelaki pun. Kesunyian ini ku isi dengan pergi menuntut ilmu, pergi usrah dan segala yang bermanfaat. Biar hati ini terisi dengan perkara yang baik-baik sahaja. Aku yakin, suatu hari nanti seorang putera yang soleh akan datang melamarku menjadi puterinya. Puteri yang solehah yang akan menemani perjuangannya. Yang akan sentiasa setia di sisinya saat susah dan senang. Puteri yang dihatinya tiada lain, hanyalah cinta yang mendalam pada penciptanya. Allah yang Maha Esa…

Isnin, 21 November 2011

Ya Allah, pilihlah aku...


          Pagi itu Mia bangun dengan dikejutkan oleh indahnya alunan azan yang bergema di seluruh alam ciptaan Allah. Mia segera pergi ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Kemudian, dia terus menghamparkan sejadah untuk mula solat tanpa menyedari akan hadirnya ibu yang dari tadi menunggunya di kerusi yang ada di sudut bilik. “ Jom solat sama-sama.” kata ibu kepadanya, membuatkan dia sedikit terkejut dengan kehadiran ibu. “ Eh, bila pulak ibu masuk bilik Mia? Ibu ni, buat orang terkejut je.” katanya kepada ibu yang hanya tersenyum riang melihat gelagat Mia yang terkejut dengan kehadirannya tadi. Mereka pun segera mendirikan solat berjemaah bersama-sama.
          Selesai saja mendirikan solat, Mia terus memeluk erat ibunya. “Maafkan segala dosa Mia bu. Mia dah banyak melakukan kesilapan pada ibu.” Tanpa disedari air mata Mia mengalir deras tanpa dapat dia sekat lagi. “Biarlah air mata ini mengalir deras. Moga air mata ini dapat membasuh hatiku yang kotor ini” bisik Mia di dalam hatinya. Entah mengapa peristiwa 3 tahun yang lalu membuatnya sangat hiba, walaupun telah lama berlalu.
……………
3 TAHUN YANG LALU
          “ Ibu, Mia pergi rumah Zahirah dulu. Malam nanti Mia balik. Mia balik lewat sikit.” Mia menghantar SMS kepada ibunya sebelum meninggalkan rumah. Ibunya sedang menunaikan solat Isyak di biliknya. Dia sengaja mengambil kesempatan itu untuk keluar berjumpa insan yang paling istimewa dalam hidupnya, Syafiq. Ibu pasti tidak mahu menyuruhnya keluar rumah andai dia mengatakan dia mahu berjumpa dengan teman lelakinya itu. Terpaksalah dia berbohong dengan mengatakan dia mahu berjumpa Zahirah.
          Sudah lama Mia tidak berjumpa dengan buah hatinya itu. Rindu hatinya mula terubat dengan pertemuan yang memang lama dia nanti-nantikan itu. Syafiq merupakan teman sekuliahnya di kampus. Kacak orangnya. Dia pandai mengambil hati Mia dengan kata-kata cinta yang membuatkan setiap wanita yang mendengar pasti akan dibuai mimpi olehnya. Mia amat bersyukur kerana dia dianugerahkan teman lelaki seperti Syafiq. Dia mengakui bahawa dia sering berasa cemburu setiap kali dia melihat Syafiq berjalan seiring dengan perempuan lain semasa di kampusnya. Walaupun semua orang mengetahui bahawa Syafiq adalah teman lelakinya, namun Syafiq sering menjadi buruan gadis-gadis yang ada di kampus itu. Pernah juga dia merungut akan hal ini kepada Syafiq ketika sedang berbual di telefon. Namun, Syafiq sering mengatakan bahawa Mia harus faham bahawa dia terpaksa berhubungan dengan gadis-gadis tersebut untuk tujuan tugasan. Semenjak itu, Mia tidak mampu untuk merungut lagi. Baginya, memiliki lelaki sekacak Syafiq sudah memadai walaupun dia kadang-kadang meragui kesetiaan Syafiq padanya.
          Pernah suatu ketika, dia melihat sendiri Syafiq berpimpin tangan dengan  seorang adik ‘junior’ yang terkenal dengan kecantikan wajahnya itu. Namun, setelah dipujuk rayu oleh Syafiq untuk memaafkannya, Mia terus melupakan hal itu. Dia mahu memberi peluang kepada Syafiq untuk berubah.
           Suatu pagi yang tenang. Mia melangkah perlahan menuju ke perpustakaan . Dia mahu mencari bahan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah padanya. Sedang dia melangkah menuju ke pintu masuk perpustakaan, bahunya dilanggar oleh seorang gadis bertudung labuh yang kelihatannya tidak sengaja melanggarnya. Segala buku yang berada di tangan mereka jatuh bertaburan di atas lantai. Gadis itu dengan rasa bersalahnya meminta maaf kepada Mia. Mia hanya tersenyum. “ Akak minta maaf dik, akak tergesa-gesa sangat tadi. Maafkan akak ya ?” kata gadis itu dengan wajah bersalah. “Tak  apa kak. Akak tak sengaja kan?. Ni buku-buku akak.” Mia menghulurkan tiga buah buku milik kakak itu yang baru dipungutnya di atas lantai sebentar tadi. Kakak bertudung labuh itu terus mengucapkan terima kasih dan pertemuan mereka berakhir di situ.
…..
          “Mia, kau dah pinjam ke buku psikologi kanak-kanak yang pensyarah nak tu?” tanya Ani kepada Mia. Ani adalah teman sebiliknya. Mereka mengambil jurusan yang sama. “Ya, aku dah pinjam. Kejap ya.” jawab Mia sambil bergegas mencari buku yang dipinjamnya di perpustakaan beberapa hari yang lalu. Semasa mencari buku itu, Mia terkejut apabila melihat buku berwarna biru yang ada bersama buku yang dipinjamnya. “Buku siapakah ini ?” monolognya sendiri di dalam hati. ‘ Ya Allah, pilihlah aku’. Tajuk buku itu diamatinya lama sambil memikirkan pemilik buku itu. Sejujurnya dia tidak meminati buku-buku berunsur keagamaan. Dia mengambil keputusan untuk menyimpan sahaja buku itu.
          Pagi itu, Mia bersiap awal untuk pergi ke kuliah pagi. Setelah siap bersolek dan menyikat rambutnya yang menawan itu, dia terus menuju ke almari bukunya untuk mengambil buku yang dia perlukan untuk hadir ke kuliah. Sedang mencari buku tersebut, matanya terpandang sebuah buku biru yang dilihatnya malam tadi. Dia mengeluh panjang. Dia bertekad untuk memulangkan semula buku tersebut kepada pemiliknya.
Dia memberanikan diri untuk menyelak buku itu dengan harapan dia menjumpai maklumat tentang pemilik buku tersebut. Helaian pertama buku itu telah tertera nama ‘Ainul Mardhiah Binti Mohamad Halmi’. Indah nama wanita ini. “Bisiknya”.  Mia mula ingat bahawa buku itu adalah milik gadis yang bertudung labuh yang terlanggar bahunya di perpustakaan beberapa hari yang lalu. Dia bertekad untuk mencari gadis itu dan menghantar buku tersebut kepadanya.
          Semasa balik dari kuliah, Mia duduk menunggu Syafiq di kafeteria.  Sambil itu dia membelek-belek buku milik gadis itu dengan perlahan-lahan. Akhirnya matanya tertarik dengan tajuk kecil dalam buku itu; ‘Sedarlah wanita, azab Allah itu amat pedih’. Tanpa berfikir panjang, buku itu dibacanya dari helaian pertama hinggalah ke helaian terakhir. Di helaian terakhir, matanya telah menangis sepuas-puasnya. Syafiq yang baru sahaja duduk di hadapannya tidak dihiraukannya. “Kenapa Mia menangis?”tanya Syafiq yang kehairanan dengan tingkah laku Mia. Lantas Mia berlari-lari anak menuju ke kolej kediamannya tanpa menghiraukan Syafiq yang dari tadi merenungnya.

         
           Pagi itu, Mia bersiap untuk ke kuliah. Dia memakai baju kurung berwarna biru miliknya. Dan, sehelai tudung labuh berwarna biru. Dengan langkah yang penuh yakin, dia menuju ke kelasnya.
          Dalam perjalanan ke kelasnya, dia terserempak dengan lelaki yang amat dikenalinya, Syafiq. Syafiq yang memakai baju melayu dan bersongkok hitam itu hanya diperhatikannya dari jauh. Ada kitab ‘Al-Quran’ di sisi lelaki itu. “Alhamdulillah, dia sudah berubah Ya Allah” bisik Mia di dalam hatinya.
 Semenjak akhir-akhir ini, Syafiq telah banyak berubah. Dia yang dulunya terkenal dengan pergaulan bebasnya, kini sudah mula menjaga batasnya. Malah, dia sentiasa menundukkan pandangan setiap kali bertembung dengan wanita yang dijumpainya. “Hidayah-Mu memang cukup indah Ya Allah. Benar, hidayah itu hanya milik-Mu. Hanya Engkau sahaja yang mampu memberi hidayah itu kepada sesiapa sahaja yang Engkau kehendaki. Sangat beruntung orang yang mendapatnya” .Tanpa disedari, setitis mutiara putih mengalir di pipinya.

           
           Selesai sahaja kuliah pagi itu, Mia terus melangkah menuju ke kafeteria. “Mia?” Entah mengapa Mia merasakan namanya disebut oleh seorang wanita. Sepertinya dia kenal suara itu. Namun,dia tidak pasti suara siapakah itu. Dia terus menoleh ke belakang. Alangah terkejutnya apabila dia melihat wajah ayu seorang gadis bertudung labuh berada betul-betul di hadapannya. Dia masih ingat wajah itu. 

“Maafkan saya! Akak ni akak Ainul kan? Yang terlanggar saya hari tu?”tanya Mia kepada Kak  Ainul.

“Ya saya. Ini Mia Humaira kan ?”tanya kakak itu dengan penuh sopan.

“ Ya saya. Bagaimana kakak tahu nama saya? Seingat saya,hari tu kita tidak sempat bertanyakan nama masing-masing.”balas Mia lembut.

“ Hari tu kita tertukar buku kan? Maafkan akak, akak tidak sedar itu buku Mia. Akak nak pulangkan hari tu. Oh ya, akak tahu nama Mia pun sebab nama Mia tertulis di helaian pertama buku ‘Prinsip Perakaunan’ kan?”kata Kak Ainul.

“Oh ya kak. Buku akak pun ada pada saya. Akak, maafkan saya kerana saya telah membaca buku akak tanpa kebenaran. Akak, buku itu sangat bermakna buat saya. Telah banyak perkara yang saya pelajari dari buku itu. Akak, hidayah Allah itu memang indah.”

“Tak apa Mia. Akak hadiahkan buku itu pada Mia. Buat tatapan rohani. Akak sangat bersyukur atas perubahan Mia sekarang. Mia telah berjaya mengubah cara hidup Mia. Walaupun akak tidak mengenali Mia secara lebih mendalam, tapi akak boleh melihatnya dari sinar ketenangan pada wajah Mia.”balas Kak Ainul dengan senyuman manis pada wajahnya.

……………
         
           Mia duduk tenang mentelaah buku-buku motivasi yang baru dibelinya di kedai buku tadi. Matanya tiba-tiba terpandang sebuah buku berwarna biru bertajuk ‘Ya Allah, pilihlah aku!’. Dia terus menyelak helaian demi helaian dan berhenti pada helaian yang bertajuk ‘Sedarlah wanita, azab Allah itu amat pedih’. Dia terus membacanya, sambil menitiskan air mata kekesalan atas dosa-dosanya yang lalu.
          Wahai wanita! Sedarlah bahawa dirimu itu amat berharga. Pada mata lelaki kau umpama mutiara yang bersinar indah yang menyinari kegelapan hidup mereka. Kau juga umpama ‘mawar berduri’. Sangat indah di pandangan mata, namun tidak bisa disentuh sesuka hati. Jika disentuh jua, kau akan terluka pedih. Keharumanmu akan pudar dimamah tangan-tangan yang penuh nafsu membuak. Usah biarkan dirimu menjadi bahan permainan lelaki yang tidak terjaga imannya. Serahkan cintamu hanya pada insan yang layak mendapatkannya.
          Wahai insan bergelar wanita, iangatlah bahawa azab Allah itu amatlah pedih. Takkan mampu untuk kau membayanginya, kerana ianya amat dahsyat. Lantas itu, segeralah kau tutup auratmu. Bukan hanya menutup aurat. Namun, tutuplah auratmu dengan ‘sempurna’. Agar kau hidup dalam redha Ilahi.
          Cuba kau tatapi segala yang ada di sisimu. Semua ciptaan Allah itu tunduk padaNya. Matahari yang tidak pernah ingkar untuk mengeluarkan cahayanya. Tumbuh-tumbuhan yang tumbuh sempurna mengikut perintah Allah. Pernahkah ciptaan Allah ini ingkar pada perintah Allah ? Tidak pernah kan? .Ia tidak punya akal. Ia tidak punya perasaan. Namun, ia sentiasa mengikut perintah Tuhannya. Tetapi, kita pula bagaimana? Kita sebagai sebaik-baik ciptaan ini pun tidak pernah sujud pada Allah. Kita ego. Kita alpa pada diri. Kita sombong pada nikmat yang kita pinjam dari Allah.
          Kita dikurniakan akal untuk berfikir. Malahan perasaan untuk kita menghayati indahnya ciptaan Ilahi. Namun, mengapa masih malas menyembahNya? Mengapa masih bergelumang dengan dosa yang sentiasa menghitamkan hatimu? Bagaimana agaknya andai matahari enggan muncul lagi mengeluarkan sinar cahayanya?  Bagaiman andainya tumbuh-tumbuhan pun malas untuk bercambah. Malas mengikut perintah Allah?
Malulah kita pada ciptaan yang tidak dikurniakan akal ini. Seolah-olah mereka yang berakal dan mempunyai perasaan. Sedang kita? Umpama ciptaan yang hanya diciptakan untuk ingkar padaNya.
Subhanallah! Sungguh indah ciptaan Ilahi. Tak mampu untuk kita katakan. Beristighfarlah ! Pulanglah pada fitrah kita. Fitrah sebagai hamba Allah yang bertakwa.
          Buku biru itu Mia tutup perlahan-lahan. Dan dia segera menitiskan air mata keinsafan. “Allah telah memilih aku untuk meneruskan perjuangan Islam. Allah telah memilih aku untuk mendapat hidayah dariNya.” Bisik hati kecilnya. Mia kini sudah pulang pada tempatnya yang sebenar. Pulang ke jalan Allah untuk berjihad demi Islam…

Sabtu, 19 November 2011

Hijrah hati...

Segumpal darah bernama 'HATI',
Kau umpama raja bagi tubuh,
Andai baik raja itu,
maka baik jugalah rakyat jelatanya,
Bergitulah 'HATI'..

Hati yang bersih dari kotornya dosa,
Amat menenangkan pemilik hati itu sendiri,
Segala yang dilakukan adalah kebaikan,
kerana kebaikannya terpancar dari sekeping hati yang suci dari kejahatan,
hati yang selalu menyesali dosa dan lantas bertaubat pada Allah..